Deejay Era FM diarah mohon maaf isu kenyataan 'cap ayam'



MIRI - Deejay Era FM iaitu Johan, Ray dan Hanif akan memohon maaf kepada juara Liga Perdana Sarawak berhubung komen ’cap ayam’ dalam rancangan Johara Pagi Era minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio Sdn. Bhd. (Astro Radio), Dr. Jake Abdullah berkata, beliau sudah memanggil deejay berkenaan semalam dan memberi amaran kepada mereka agar tidak lagi mengeluarkan komen negatif berkaitan mana-mana pasukan bola sepak di negara ini.

"Minggu depan, anda akan mendengar permohonan maaf berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas perasmian majlis peluasan Era FM, hitz FM dan MY fm ke Bandar Miri hari ini.

Beliau mengaku benar-benar kecewa selepas mengetahui insiden itu, yang menimbulkan kemarahan peminat Sarawak sehingga terdapat ancaman bunuh terhadap Johara.

"Orang yang tidak ghairah dengan bola sepak tidak akan faham,” katanya sambil menambah Era FM sentiasa menyokong Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sejak 2010. - Bernama



Info Hangat Terbaru