Seniwati Datin Umi Kalthum Sudah Kembali Ke Rahmatullah


Hari ini tanggal 15 Ramadan bersamaan 24 Julai 2013, perginya seorang lagi seniwati jelita era filem hitam putih iaitu Datin Hajjah Umi Kalthum atau nama sebenarnya Patimah Bte Bahudin pada usia 81 tahun di kediamannya di Taman Melawat pada kira kira jam 4 pagi ini. 

. Berita ini telah disampaikan oleh teman melalui status Facebooknya dan telah disahkan oleh rakan rakan media.

Allahyarhamah yang dilahirkan di Lenggeng, Negeri Sembilan merupakan balu kepada pengarah serta pelakon Allahyarham Datuk S Roomai Noor yang juga ibu dan bapa kepada bekas pelakon, penyanyi dan model ternama di era 80'an iaitu Noor Kumalasari. Datin Hajjah Umi Kalthum juga merupakan ibu tiri kepada diva popular Anita Sarawak.

Seniwati filem Melayu klasik ini mula terbabit dalam dunia lakonan ketika pergi ke Singapura dengan teman sekitar tahun 1951. Antara filem terawal dilakonkan seniwati ini adalah filem seperti Dahlia, Buluh Perindu dan Kampung Nelayanmanakala filem terakhir yang menampilkannya adalah Syukur 21.

Umi Kalthum pernah dipilih majalah antarabangsa terkemuka, Life sebagai Wanita Melayu Paling Jelita di seluruh Singapura dan Malaya pada ketika itu.

Takziah diucapkan kepada keluarga seniwati ini dan kami akan cuba mendapatkan maklumat lanjut serta info mengenai pemergian seniwati ini untuk tatapan pembaca Murai sekalian. Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah buat arwah Datin Hajjah Umi Kalthum agar dia ditempatkan dikalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah.sumber


Info Hangat Terbaru