Si Empat Mata Diburu Bantu Selesai Pembunuhan Pengasas Arab-Malaysian Bank

SI EMPAT MATA kini jadi buruan polis.

Kuala Lumpur: Seorang pemandu teksi berusia 44 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan pengasas Arab-Malaysian Bank Husain Ahmad Najadi, 75, di tempat letak kereta di Jalan Raja Chulan, di sini, Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, pemandu teksi terbabit ditahan jam 9 malam di sebuah restoran di Sri Petaling.

“Dia (pemandu teksi) dipercayai individu yang membawa pembunuh terbabit selepas insiden berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati pemandu teksi terbabit mendakwa suspek (pembunuh) adalah pelanggan tetapnya.

“Pemandu teksi itu kemudian menurunkan suspek di Jalan Alor selepas mereka melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya memberitahu, sehingga kini pemandu teksi terbabit mendakwa hanya dia dan suspek berada dalam teksi berkenaan namun siasatan mengenai kesahihan dakwaan itu sedang dijalankan kerana sebelum ini pihak berkuasa percaya terdapat tiga suspek dalam serangan berkenaan.

Ku berkata, polis juga akan mengambil percakapan dengan individu yang ditemui mangsa sebelum kejadian. Dalam perkembangan sama, Ku berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti pembunuh terbabit dikenali sebagai Jian atau digelar Si Empat Mata (Sei Ngan Chai).
“Jian dipercayai bergerak aktif di sekitar Taman Maluri, Cheras dan masih bersembunyi di sekitar Lembah Klang,” katanya memberitahu pihaknya sudah mengedarkan gambar suspek yang dapat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di tokong yang menjadi lokasi kejadian.

Katanya, dia berharap orang ramai akan memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihaknya dengan menghubungi Bahagian Siasatan Khas (D9) IPKKL di talian 03-21460685 atau Hotline Polis KL (Rakan Cop) di talian 03-21159999 atau SMS Polis KL (Rakan Cop) ke 32728 atau mana-mana balai polis berhampiran.SUMBER:harian metro



Info Hangat Terbaru