Wanita maut jatuh dari roller coaster

DUA pekerja syarikat Six Flags berjalan di hadapan roller coaster Gergasi Texas di Arlington, Texas. kelmarin.

 
ARLINGTON - Seorang wanita yang menaiki roller coaster di negeri Texas, Amerika Syarikat maut apabila terjatuh dari binaan tersebut kelmarin.
Kemalangan itu berlaku di taman hiburan Six Flags Over di sini.
Jurucakap taman hiburan berkenaan, Sharon Parker mengesahkan mangsa meninggal dunia semasa menaiki roller coaster gergasi itu tetapi tidak mendedahkan bagaimana dia terbunuh.
Namun, beberapa saksi memberitahu media tempatan bahawa wanita itu terjatuh.
"Apabila kereta roller coaster itu hendak menuruni landasan, palang keselamatannya terbuka dengan wanita itu terus terjatuh," kata seorang saksi, Carmen Brown.
Menurut Brown, dia sedang berbaris untuk menaiki roller coaster tersebut apabila kemalangan berlaku.
Dalam pada itu, syarikat Six Flags melahirkan kesedihan berhubung kematian tersebut dan mengumumkan penutupan bahagian taman sekitar tempat kemalangan itu.
Roller coaster tersebut, Gergasi Texas, mencapai ketinggian bangunan 14 tingkat dengan sudut junaman mencecah 79 darjah. -kosmo


 

Info Hangat Terbaru